JANUARI 2023

Masa Depan Sarawak Cerah - Uggah


KUCHING: Sarawak akan menempuhi masa depan lebih cerah dengan wujudnya kestabilan politik dan strategi pembangunan disusun oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pucuk kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau mengimbau kembali pada 2017, Premier Sarawak menyatakan visinya untuk membangun dan mengubah Sarawak menjadi negeri maju di Malaysia menjelang 2030.

“Pada 3 Julai 2017, Abang Jo menyatakan visinya untuk Sarawak. Beliau berkata dalam satu kenyataan, dan saya petik – “Lee Kwan Yew berjaya mengubah Singapura daripada sebuah pulau berpaya dan berlumpur menjadi seperti sekarang. Kami juga bercita-cita untuk memartabatkan dan mengubah Sarawak menjadi sebuah negeri maju di Malaysia menjelang 2030.

“Kenyataan Premier Sarawak itu bukan sekadar retorik – bukan air liur kosong, ia adalah ikrar dan titik perubahan misi Abang Jo untuk membangun dan mengubah Sarawak menjadi wilayah maju di Malaysia menjelang 2030.

“Ini adalah seorang pemimpin yang mempunyai visi jelas untuk masa depan Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini. Majlis itu dirasmikan Premier Sarawak yang turut berucap.

Uggah berkata, antara bukti kejayaan yang telah dicapai semasa kepimpinan beliau ialah nilai pendapatan negeri menunjukkan peningkatan ketara.

“Menerusi kepimpinan Premier Sarawak, pada 2017, hasil Sarawak yang dijana ialah sebanyak RM6.7 bilion, diikuti RM7.2 bilion pada 2018.

“Manakala bagi 2023 telah mengunjurkan hasil melebihi RM11 bilion,” tambah beliau.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kenamaan yang lain.

GAMBAR:UKAS

Sumber dari : Jiwa Bakti